Friday, April 20, 2007

Hasmi tawar diri bertanding ketua Angkatan Muda PKR

OLEH Malaysiakini.com
KETUA Parti Keadilan Rakyat (keadilan) bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim menawar diri bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menurutnya memerlukan kepimpinan baru bagi membawa gelombang kuat yang dapat diterima masyarakat, terutama generasi muda di negara ini.
Beliau yang memperolehi 14 pencalonan bagi jawatan tersebut berkata, pada masa ini, pergerakan itu tidak mempunyai gagasan baru untuk rakyat terutama generasi muda.
“Apabila Ezam Mohd Noor, bekas Ketua AMK, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, pergerakan itu menjadi lemah.
“Kekosongan yang ditinggalkan oleh Ezam selepas beliau meletakkan jawatan pada November lalu, belum diisi hingga sekarang.
“Dan saya mahu mengisi kekosongan tersebut bagi membawa AMK kepada gelombang kedua yang lebih hebat,” katanya dalam temubual dengan malaysiakin Rabu lalu.
Bagaimanapun, Hasmi menjelaskan, cara kepimpinan Ezam sudah tidak sesuai untuk diteruskan oleh generasi muda sekarang. Di bawah kepimpinan Ezam, katanya, AMK banyak melakukan demontrasi membantah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ezam meletakkan jawatan sebagai ketua AMK untuk menumpukan perhatian kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya – Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi.
‘Dalam keadaan lemah’
Februari lalu, Ezam turut melepaskan jawatan timbalan pengerusi Keadilan Selangor dan Ketua bahagian Shah Alam atas alasan yang sama.

“Sungguh aneh AMK mempunyai pemimpin yang kuat tetapi pergerakan itu berada dalam keadaan yang lemah,” katanya.
Keadilan akan mengadakan Kongres Nasional di Seremban bulan depan bagi memilih pucuk pimpinan baru bagi tempoh 2007-2009.
Semua jawatan utama termasuk presiden yang kini disandang oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dijangka dipertandingkan dalam kongres tersebut.
Hasmi berkata, era reformasi seperti yang diperjuangkan pada 90-an sudah tidak sesuai lagi tetapi kini masih ramai pemimpin muda yang terikut-ikut dengan arus tersebut.
“Angkatan Muda perlu menyusun semula sebaik mungkin sokongan rakyat, termasuk mempunyai jaringan dengan mahasiswa, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dari Eropah, Timur Tengah dan negara Asean.
“Jangan hanya mengharapkan Anwar bersendirian kerana bekas timbalan perdana menteri itu pun mempunyai tugas yang besar dalam parti,” katanya lagi.
Beliau berkata, AMK perlu mengangkat rakyat dan bukannya bergantung kepada rakyat untuk melaksanakan sebarang aktiviti.