Wednesday, June 14, 2006

Mahkamah batal hukuman Sukma

OLEH Arfa’eza A Aziz

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan 14 Jun lalu membatalkan sabitan hukuman bagi kesalahan liwat terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja [foto bawah] yang membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Hashim Mohd Yusof dan Datuk James Foong sebulat suara memutuskan bahawa sabitan terhadap Sukma – yang berdasarkan kepada pengakuan bersalahnya – sebagai ‘dilihat tidak selamat’ kerana terdapat bukti yang tidak diutarakan oleh pihak pendakwa.

“Selepas menimbangnya dengan teliti, kami sebulat suara merasakan bahawa rayuan tersebut patut dibenarkan. Pada pandangan kami, sabitan berdasarkan pengakuan bersalah adalah ‘dilihat tidak selamat’,” kata Gopal.
Mahkamah juga mengenepikan hukuman enam tahun penjara dan memerintahkan supaya kes itu didengar semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Kes tersebut dijadual disebut jam 9 pagi esok. Pada 19 September 1998, Sukma telah mengaku bersalah terhadap tuduhan membenarkan Anwar meliwatnya di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Damansara pada bulan April 1998.

Peguamnya yang dilantik oleh pihak polis mengemukakan pengakuan bertulis yang ditandatangani oleh Sukma. Bagaimanapun, Sukma kemudiannya mendakwa dia telah dipaksa dan pengakuan bersalah itu bukan secara sukarela. Usaha mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu dibawa ke Mahkamah Tinggi tetapi gagal.

Sudah bersedia

Peguam Sukma sekarang, Gobind Singh Deo, berkata beliau sudah bersedia untuk mengendalikan perbicaraan semula kes tersebut, sambil menambah, pihaknya bercadang untuk memanggil bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan sebagai saksi.

Katanya, ini kerana keseluruhan tuduhan tersebut adalah akibat daripada konspirasi terhadap Anwar, Dr Mahathir telah memecat Anwar pada September 1998 berhubung beberapa tuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa dan liwat.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Sukma berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah hari ini kerana beliau telah diberi “peluang kedua” untuk membela dirinya terhadap tuduhan tersebut. Begitu juga dengan Anwar yang hadir di mahkamah untuk memberi sokongan moral kepada Sukma.

“Akhirnya kita akan dapat menunjukkan bahawa telah berlaku ketidakadilan sejak dari mula hingga ke akhirnya. Masih ada harapan untuk kita mendapatkan keadilan daripada pihak kehakiman yang kini berdepan dengan kontroversi tuduhan rasuah,” katanya.

‘Bukti tidak diliwat’

Dalam hujahnya, Gobind berkata Sukma mahu mengenepikan sabitan hukuman itu kerana terdapat bukti yang tidak diutarakan oleh pihak pendakwa yang telah mendakwa Sukma atas tuduhan meliwat sedangkan buktinya adalah sebaliknya.

“Terdapat laporan perubatan yang menyatakan Sukma tidak diliwat, tetapi pihak pendakwa tetap mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan meliwat,” kata Gobind.

Menurutnya lagi, laporan tersebut menyatakan tidak ada bukti yang menunjukkan Sukma diliwat. “Sekiranya hakim mahkamah sesyen melihat laporan perubatan tersebut, sepatutnya beliau telah menolak pengakuan bersalah, dan meminta diadakan perbicaraan semula?,” tegas Gobind.

“Tertuduh juga telah mendakwa yang dia menghadapi tekanan hebat ketika dia membuat pengakuan bersalah itu. Jadi kami memohon agar sabitan hukuman itu diketepikan, kami tidak memohon pembebasan,” katanya.

Beliau memohon mahkamah supaya membenarkan Sukma membela dirinya terhadap tuduhan tersebut, sambil berkata: “Sekiranya selepas ini mahkamah mendapatinya bersalah, maka ia akan diterima...”

Rayuan Anwar

Mahkamah juga diberitahu bahawa pengakuan Sukma itu telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya membenarkan rayuan Anwar dan Sukma terhadap sabitan hukuman liwat ke atas mereka.

Dalam hal itu, Hakim Gopal berkata memandangkan pengakuan yang sama telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, maka pihaknya perlu mematuhi keputusan tersebut. Gobind kemudian berhujah bahawa apa yang berlaku terhadap Sukma – dari masa dia ditangkap sehingga masa dia membuat pengakuan bersalah bagi tuduhan liwat – amat mencurigakan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya (DPP) Nurul Huda Noraini Mohd Nor berkata pihak pendakwa tidak perlu membuktikan berlakunya sebarang ‘kemasukan’ kerana Sukma didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana ‘berkelakuan tidak senonoh’ dan laporan perubatan juga tidak perlu. Hakim Gopal kemudiannya mencelah bahawa tuduhan tersebut dengan jelas menyatakan berlaku ‘kemasukan’ dan selepas itu meminta Nurul Huda membaca tuduhan tersebut.

Selepas beliau selesai membacanya, Hakim Gopal berkata: “Semua sudah habis! Jika tidak dapat dibuktikan sebarang kemasukan, maka keseluruhan kes itu musnah seperti runtuhnya timbunan bata.” [Malaysiakini]

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home