Wednesday, May 30, 2007

Hasmi Rakam Penghargaan Kepada Penyokong

SEREMBAN: Sunguhpun kalah, namun bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hasmi Hashim nampak ceria dan merakam rasa penghargaan dan berterima kasih atas sokongan yang beliau perolehi. Seperti yang diduga, Shamsul Iskandar Mohd Akin dipilih mengetuai AMK dalam pemilihan pergerakan itu Jumaat lalu.

Meskipun terdapat beberapa masalah teknikal seperti ‘kehilangan’ daftar perwakilan dan proses pengiraan undi yang tertangguh sehingga Sabtu pagi, namun umumnya pertandingan jawatan tertinggi AMK berjalan dengan tenang.

Shamsul yang sebelum ini memangku jawatan ketua AMK selepas Ezam Mohd Noor meletakkan jawatan, mendapatkan 243 undi manakala Hasmi memperolehi 51 undi. Sungguh begitu, kira-kira lebih 120 perwakilan tidak mengundi dan 32 lagi undi rosak untuk jawatan Ketua AMK.

Menurut laporan Malaysiakini, Hasmi sejak awal juga dianggap sebagai calon kurang popular bagaimana pun berjaya mengetengah kempen sejak beberapa bulan yang “berprofail tinggi” dengan tema “Gagasan Pencerahan.” Antara kempennya dengan mengedarkan selebaran menyentuh asas tindakan Tim Pencerahan.

Mengikut senarai “Tim Pencerahan,” hanya Hasmi yang terkandas ke jawatan tertinggi disamping timbalan dan naib-naib ketua masih dianggap sebagai senarai tim tersebut. Bagi jawatan Timbalan Ketua dimenangi Faris Muda dengan mengalahkah Ketua AMK Kelantan, Zamakhsari Ibrahim.

Untuk jawatan naib ketua pula disandang Khairul Anuar Ahmad Zainudin yang mendapat 218 undi, Amirudin Shari (180) dan Tan Seng Toh (154) yang meninggalkan tiga calon yang lain iaitu Ahmad Zaki Yamani, Johnson Chong dan Zukri Akshah.

Hasmi ketika ditemui selepas pengumuman berkata, beliau menerima baik keputusan yang dibuat perwakilan. Beliau juga menggesa agar kerjasama diberikan kepada barisan pimpinan yang ada sekarang demi memperkuat semula AMK di seluruh negara.

“Saya tidak bawa politik pecah-belah. Saya ketengahkan "politik idea" sejak awal dan pertandingan yang sesihat mungkin. Bukan saya yang menyerang. Shamsul dan semua ahli AMK adalah kawan-kawan saya,” katanya.

Selain beberapa nama yang menang di dalam Tim Pencerahan, News Straits Time juga melaporkan bahawa Khalid Jaafar, antara orang kuat dalam Tim Pencerahan juga menang ke jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Hasmi mengulas, kemenangan Khalid dan beberapa nama lain adalah permulaan kepada perjuangan bentuk baru di dalam Keadilan.

“Gagasan Pencerahan adalah gerak kerja maraton bagi memastikan perjuangan ini releven untuk sekurang-kurangnya sepuluh atau lima belas tahun ke hadapan,” tambahnya lagi.

[kembali ke halaman utama]