Sunday, March 04, 2007

Anwar Tekad Tukar kerajaan

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin dan ahli parti-parti pembangkang supaya bekerja kuat untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Berucap kepada kira-kira 600 hadirin di rumah terbuka anjuran PKR sempena Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu, Anwar menyentuh pelbagai isu termasuk kejatuhan indeks komposit Bursa Malaysia baru-baru ini.

“Kita mahu ekonomi kita bertambah baik dan bukannya prestasi pasaran yang begitu buruk [...] kita tidak mahu kos sara hidup meningkat... kita mahu ekonomi kita dijaga dengan baik.

“Jika kita mahu setiap tahun menjadi baik, kita mesti bekerja kuat kerana Malaysia adalah sebuah (negara) yang baik, rakyatnya baik tetapi kerajaannya tidak baik,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

“Kita mesti bekerja keras untuk menukar kerajaan. Saya benar-benar mahu menukar kerajaan, kita mesti mempunyai satu program yang baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau menambah, walaupun ahli politik sering membuat janji-janji kosong, tetapi katanya, Keadilan bersama Pas dan DAP telah memutuskan, jika ia mahukan sokongan rakyat, ia bukannya sokongan yang kosong.

Anwar menegaskan, rakyat hanya perlu menyokong barisan alternatif jika mereka bersetuju dengan dasar-dasarnya.

“Kita meminta sokongan untuk dasar-dasar kita, jika anda bersetuju dengan dasar-dasar kami, sokonglah kami, Jika tidak… jangan,” katanya.

Anwar juga berkata, ramai yang berfikir dasar-dasar barisan pembangkang tidak baik, namun begitu katanya dasar-dasar kerajaan juga telah mengecewakan rakyat.

“Sesetengah orang berfikir sesuatu itu akan berubah dengan sendirinya… tidak, itu tidak benar. Kita mesti bekerja bersama untuk membawa perubahan itu,” katanya.

Sebelum menamatkan ucapan selama 10 minit itu, Anwar mencabar kerajaan bahawa pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau memberitahu Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, sekiranya pilihanraya umum diadakan Jun ini pun, pihak pembangkang bersedia untuk menghadapinya.

Sementara itu, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail juga dilaporkan bersetuju untuk memberi laluan kepada Anwar untuk menerajui Parti.

Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali dilaporkan berkata, Anwar telah menerima beberapa pencalonan sebagai presiden daripada 15 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat setakat ini. Keadilan mempunyai 165 bahagian di seluruh negara.

(Berita Asal: Malaysiakini.com dan Bernama)

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home