Saturday, June 17, 2006

Sukma hendak saman Polis

OLEH Arfa'eza A Aziz

SUKMA Darmawan Sasmitaat Madja sedang menimbang sama ada akan menyaman pihak polis berhubung kejadian dia digari Khamis (22 Jun) lalu. Dalam kejadian tersebut, dua anggota polis dikatakan bertindak kasar menggari tangannya di bangunan majistret Kuala Lumpur sementara menunggu selesai urusan ikatjamin.

Peguamnya, Gobind Singh Deo memberitahu sebuah laman berita, beliau akan membuat aduan rasmi kepada Ketua Polis Negara (KPN) berhubung kejadian tersebut kerana menurutnya, Sukma tidak sepatutnya digari pada hari berkenaan.

“Saya juga akan membuat temujanji dengan KPN untuk menyuarakan rasa marah saya terhadap kejadian tersebut dan mendapatkan penjelasannya mengenai kekasaran anggotanya terhadap Sukma. “Selepas mendapat penjelasan KPN, saya akan berbincang dengan Sukma sama ada dia hedak menyaman pihak polis atau tidak,” tambahnya.

Beliau berkata, Sukma amat kecewa dengan kejadian itu dan mendorongnya untuk segera pulang ke Jakarta pada malam Khamis lalu.

Sangka kena ISA

“Saya memberitahunya, beliau boleh menyaman pihak polis tetapi dia memberitahu saya, yang dia mahu pulang dan akan memikirkan perkara itu kemudian. Dia amat terganggu (dengan kejadian tersebut)...seolah-olah ada orang yang tidak gembira dengan perkembangan terbaru itu dan mahu mengajarnya...

“Dia menyangka akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepertimana yang berlaku lapan tahun lalu,” katanya.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu selepas Sukma, 45, mengaku tidak mengaku dan minta dibicarakan terhadap tuduhan liwat yang membabitkan abang angkatnya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lapan tahun yang lalu, dia mengaku bersalah terhadap tuduhan yang sama dan kemudiannya dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.

Bagaimanapun, Sukma kemudiannya mendakwa, dipaksa mengaku bersalah dan pengakuan tersebut dibuat tanpa kerelaannya ketika berada dalam tahanan. Rabu lalu, Mahkamah Rayuan telah mengenepikan hukuman ke atas Sukma dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Kes tersebut akan dibicarakan semula mulai 6 November dan antara saksinya yang akan dipanggil untuk memberi keterangan ialah Anwar dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir telah memecat Anwar pada September 1988 berhubung dakwaan salahlaku seks dan salahguna kuasa. Anwar pula mendakwa, tuduhan tersebut sengaja diada-adakan terhadapnya. Melanggar amalan biasa Gobind juga berkata, tindakan menggari tangan Sukma itu adalah tidak baik dan melanggarkan amalan biasa.

“Undang-undang berkaitan menggari tangan ama t jelas dalam kes C Ramanathan di mana pihak polis mungkin hanya boleh menggunakan gari jika mereka mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suspek mungkin cuba melarikan diri. Jika tidak, mereka boleh menggari tangannya dari depan.

“Dalam kes ini, Sukma telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan dan diberi peluang kedua untuk dibicara semula. Dia tidak sepatutnya dilayan seperti seorang pesalah,” tambahnya.

Menceritakan kejadian itu pada hari Khamis lalu, Gobind berkata keadaan tenang di lokap mahkamah – ketika beliau dan Sukma sedang menunggu penjaminnya Rahim Mazlan membayar wang ikatjami RM10,000 – menjadi kecoh apabila secara tiba-tiba dua anggota polis memegang tangan Sukma.

“Secara tiba-tiba, dua anggota polis itu memegang tangannya dengan kasar dan menggari tangannya ke belakang. Saya dapat lihat Sukma panik ketika itu. Kemudian mereka menarik dan mengheret Sukma dari situ,” katanya.

Anggota polis tersebut juga, katanya, enggan menjawab walaupun mereka bertanya berkali-kali.

“Saya amat marah melihat apa yang dilakukan kepadanya. Mereka tidak langsung menghirau kami. Kerana itulah saya menjerit untuk menarik perhatian mereka. “Jawapan yang kami dapat hanyalah ‘ini arahan sarjan’. Bila saya tanya apakah bentuk arahannya, mereka tidak menjawab dan terus menarik Sukma ke pejabat pendaftar mahkamah (di mana dokumen ikatjamin masih menunggu untuk ditandatangani),” katanya.

Gobind berkata, kejadian tersebut telah memperlihatkan‘sikap sebenar pihak polis’.

“KPN mendakwa pihak polis sudah berubah dan semakin baik, tetapi nampaknya ia hanyalah kata-kata sahaja. Ia juga jelas bahawa KPN gagal dihormati anggotanya yang terus tidak mengendahkan gesaannya supaya membawa pembaharuan yang positif dalam pasukan tersbut,” tambah Gobind. [Malaysiakini]

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home