Sunday, March 25, 2007

Seruan Perjuangan Zaman: Agenda Pencerahan

OLEH Ammar Rozi

KUALA LUMPUR (24 Mac 2007) ~ Buat julung kalinya, Hasmi Hashim memberi kenyataan terbuka disamping menyeru generasi muda bersedia membawa agenda baru demi memastikan kelangsungan perjuangan Reformasi.

Beliau berkata, generasi muda harus mampu menggarap gagasan baru yang jelas bagi memastikan "agenda perubahan" yang menjadi hasrat Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) menjadi kenyataan.

“Hari ini saya umumkan ~ generasi baru yang didokong kalangan cerdik pandai muda siap untuk membawakan gagasan baru. Bangsa kita memerlukan pencerahan untuk membawa Malaysia keluar daripada zaman kacau dan menggila ini,” kata Hasmi ketika berpidato di Jalan Enggang, Keramat dekat ini malam tadi.

Beliau berkata, keadaan Malaysia hari ini yang sudah parah dengan pelbagai kebejatan seperti rasuah dan nepotisme boleh diselamatkan sendainya Agenda Perubahan Keadilan didokong dengan "gagasan pencerahan."

"Orang bertanya, "apa itu gagasan pencerahan?" Pertama kita harus tekankan bahawa pemerintah harus menghormati harga diri manusia, karamah insaniah... Dahulu kita marah Datuk Seri Anwar [Ibrahim] dipukul... dipenjara... diaibkan. Hari ini kita juga tidak bersetuju cara pemerintah melayan dengan biadap menggunakan aparat dan kekerasan dalam isu Kampung Berembang," kata Hasmi lagi.

Beliau juga yakin, prinsip demokrasi menjadi penting terutama dalam mengurus negara seperti Malaysia yang pelbagai kaum dan latar belakang.

"Kita menuntut demokrasi kerana, seperti kes di Kampung Berembang, demokrasi akan mengwujudkan ruang berunding. Apakah kerajaan tidak boleh berunding dengan penduduk Kampung Berembang? Tidak perlu guna kekerasan," ujarnya lagi.

Selain itu, Hasmi turut mengajak masyarakat—termasuk ahli-ahli Umno peringkat bawah—mempunyai keberanian keluar daripada "politik sentimen."

“Mengapa kita lawan Umno dan Barisan Nasional? Kita lawan Umno dan Barisan Nasional kerana mereka memainkan politik sentimen. Mereka berkuasa dan kekal berkuasa kerana itu. Hari ini tidak boleh lagi menerima politik sentimen,” kata Hasmi di hadapan hampir seribu penyokong.

Menurut Hasmi lagi, politik sentimen yang dimainkan oleh pemimpin Umno-BN hanya menguntungkan segelintir pemimpin elit Umno-BN. Beliau juga mengajak agar setiap pertimbangan politik kembali kepada tradisi ilmu dan pertimbangan yang rasional.

"Tanya Khairy... tanya Hishamuddin, satu buku atau rencana pemikiran pun tidak pernah mereka tulis. Anwar waktu muda menulis buku pemikiran Menangangi Cabaran, dan patutlah beliau jadi Ketua Pemuda Umno," kata Hasmi lagi.

Mengulas mengenai Agenda Ekonomi Baru (AEB) yang diketengahkan Keadilan, Hasmi berkata, konsep dan gagasan "ekonomi yang manusiawi" sudah lama diterapkan Anwar sepertimana yang disebut di dalam buku "Gelombang Kebangkitan Asia."

Beliau turut mendedahkan dan kesal kerana sewaktu Anwar di dalam penjara dahulu, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu diarahkan dihapuskan dan dibakar oleh pemerinrah.

Turut berpidato dalam program anjuran Keadilan Bahagian Ampang ialah Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali dan Ahli Jawatankuasa Pas Selangor, Shaari Sungib.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home